Jumaat, 30 Mei 2014

Perbezaan Qadim Dan Azali

Kerap juga persoalan ini menjadi pertanyaan. Sepertimana yang telah diketahui, Allah SWT, nama-namaNya, sifat-sifatNya dan al Quran itu adalah “qadim”. Manakala syurga, neraka, arasy, kursi, luh mahfuz kesemuanya “dicipta” sejak “azali”. Perhatikan pengikat kata yang saya letakkan.

Sebelum penjelasan tentang kedua-dua perkara ini, suka untuk saya menjelaskan makna kedua-duanya.

- Qadim : Tiada permulaan bagi kewujudannya
- Azali : Dicipta, dan penciptaannya sebelum terciptanya masa

Di dalam masalah ini, kita perlu memahami tentang “masa”. Masa adalah makhluk yang dicipta selepas terciptanya kursi, arasy, luh mahfuz dan sebagainya. Bahkan masa itu sendiri adalah putaran cakerawala (mengikut pandangan mutakallimin). Maka, apa-apa yang dicipta sebelum terciptanya cakerawala adalah dikira sebagai azali.

Manakala qadim pula ialah tiada titik permulaan bagi kewujudannya. Azali mempunyai titik permulaan bagi kewujudannya, cuma kita tidak mengetahuinya. Dan titik permulaan tersebut adalah sebelum terciptanya masa. Jangan lupa, arasy, kursi dan luh mahfuz adalah makhluk, dan makhluk itu pastinya “hadis” (bukan qadim).

Setiap yang qadim adalah Tuhan. Kerana tiada permulaan bagi kewujudannya. Nama-namaNya, sifat-sifatNya dan KalamNya (al Quran) adalah qadim kerana kesemua ini terdapat pada zat Allah SWT yang qadim. Bukan sesuatu yang terpisah dariNya. Tidak mungkin qudrah (sifat kekuasaan) itu satu, dan Allah itu satu yang lain, kerana kedua-duanya tak mungkin terpisah. Maka kesemua yang dikatakan qadim ini adalah zat Allah yang tiada permulaan bagi kewujudannya.

Azali pula adalah makhluk yang dicipta sebelum terciptanya masa. Maka sudah pasti terdapat permulaanya kerana ia adalah makhluk atau ada permulaanya.

copy from :
Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Akidah dan Faslafah

Universiti al Azhar

1 ulasan: