Rabu, 11 November 2015

■Kisah Ulama' Siri 5■


Said bin Zubair dengan Hajjaj bin Yusuf Al-Thaqafi

Sejarah memaparkan pembuktian bagaimana tingginya nilai keilmuan yang dipegang oleh ulama walaupun terpaksa berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Said bin Zubair adalah contoh terbaik untuk dijadikan teladan kepada semua intelektual dalam menegakkan kebenaran. Beliau seorang intelektual agama daripada kalangan tabi’in. Bapa beliau ialah Zubair bin Awwam ra. Oleh kerana beliau selalu mengeluarkan pandangan yang bercanggah dengan pihak pemerintah, maka beliau telah ditangkap untuk menghadap Gabenor Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi.
 
Banyak persoalan yang ditanya oleh Hajjaj kepada Said. Namun Said berjaya menjawabnya dengan tenang. Hajjaj menawarkan harta kepada Said, tetapi Said menolaknya dengan berkata: “Wahai Hajjaj! Apakah faedahnya harta yang demikian itu untuk menghadapi bencana akhirat nanti? Dengan apa pun caranya engkau menyeksa saya, nanti di akhirat engkau akan terima balasannya dengan lebih sakit dan lebih pedih lagi.” Hajjaj berkata lagi: “Apakah engkau tidak suka memohon keampunan saya? Saya sedia untuk memaafkanmu”. Said dengan tegas berkata: “Lebih baik saya memohon keampunan Allah SWT saja”.
 
Hajjaj begitu marah dan memerintahkan kepada pegawainya supaya membunuh Said. Said tersenyum mendengarnya. Maka Hajjaj berkata: “Mengapa kamu tersenyum?”. Jawab Said: “Saya hairan, mengapa engkau berani melawan Allah SWT.” Said segera ditelentangkan dan wajahnya menghadap ke langit. Mulut Said sentiasa terkumat-kamit menyebut nama Allah SWT. Melihat keadaan itu, Hajjaj memerintahkan supaya Said dibalikkan menghadap tanah.
 
Said segera membaca surah al-Anam ayat 79 yang bermaksud: “Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Allah SWT yang menciptakan langit dan bumi dengan condong kepada agama yang benar dan aku bukanlah termasuk orang yang mempersekutukan Allah”.
 
Setelah membaca ayat iu, Said memalingkan wajahnya ke arah kiblat. Melihat keadaan itu bertambah kuatlah kebencian Hajjaj dan segera memerintahkan pengawal supaya memalingkan wajahnya ke arah lain. Begitulah seterusnya sehingga leher Said dipenggal.
 
Sebelum dipenggal, Said sempat berdoa: “Ya Allah! Semoga saya ini adalah orang terakhir yang dibunuh oleh Hajjaj. Selepas hari ini, janganlah dibuka lagi kesempatan bagi Hajjaj untuk berbuat begini terhadap hamba-Mu”. Mendengar doa Said itu, Hajjaj hanya tertawa. Selepas satu minggu kematian Said, Hajjaj ditimpa penyakit gila dan dia mati dalam keadaan yang mengerikan
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Kisah tentang keberanian Saeid Bin Zubair ini benar-benar menyentuh dan menyentak hatiku. Pertama kali mendengarnya, aku mengalirkan air mata. Tidak tahu apa sebabnya. Mungkin kerana pengakiran kehidupannya yang indah, atau mungkin juga cara penyampaian penceramah itu. Ku kira kedua-duanya sekali.

Cerita ini ada banyak versi yang mungkin ada sedikit perbezaan. Kami ceritakan versi yang kami dapat daripada Ustaz.

Sahabat yang dikasihi,
Kenalkah kalian siapakah Saied Bin Zubair?
Beliau ialah seorang Ulama' Besar pada zaman Tabi'iin, iaitu zaman selepas sahabat-sahabat Nabi. Beliau dikenali sebagai seorang yang faqih, salih, dan ahli ibadah. 

Ketika itu, Makkah diperintah oleh seorang pemimpin di zaman Umaiyah, iaitu Hajjaj bin Yusuf Al-Thaqafi, yang terkenal dengan kezaliman dan kekejamannya serta banyak membunuh para ulama'. Namun tidak dinafikan, beliau juga seorang yang banyak mengetahui mengenai al-Quran dan banyak menghafaz ayat-ayat al-Quran.

Suatu hari, Hajjaj yang sedang duduk di dalam istananya dengan angkuh bertanya kepada pengawalnya,"Man minkum la yakhfini?" "Siapa dikalangan kamu yang tidak takut kepadaku?" Seorang pengawal bangun dan berkata, "Ada seorang yang tak takut kepadamu. Dia ialah Saied Ibnu Zubair". Mendengarkan hal itu, Hajjaj mengarahkan pengawalnya membawa Saied datang berjumpa dengannya. "Ruhtu ila baiti Saeid, akhbiruhu liannani rukyaah"

Maka, pengawal-pengawal itu pun pergi ke rumah Saied untuk menjemput beliau. Setibanya di rumah Saeid, pengawal memberitahu arahan itu kepada Saeid. Saeid dengan tenang masuk ke dalam rumah, mengambil wudhuk,memakai baju berwarna putih dan beliau menunaikan solat sunat 2 rakaat. Pengawal berasa hairan   kerana mereka menyangka Saied akan melarikan diri. Mereka bertanya kepada Saied, "kenapa kamu pakai
begini?"

Saied menjawab, "Sesungguhnya hari ini aku akan bertemu dengan Kekasihku,"
Orang yang 'alim, wali ALLAH, tahu bila mereka akan mati. KITA?? Disebabkan kita tak tahu bilakah masa ajal itu menjelma, kita masih leka. Masih terus-terusan dengan maksiat. 

Setibanya di Istana Hajjaj, Saied pun dibawa menghadap pemerintah yang zalim itu. Maka bermulalah dialog yang menarik dan mendebarkan di antara mereka.
Hajjaj dengan sombongnya bertanya,
"Man Anta?"- Kamu siapa? sedangkan dia telah mengetahui siapa Saied.
Saied: "Aku Saied Ibn Zubair" (orang bahagia anak orang perkasa)
Hajjaj: Tidak! Kamu bukan Saied Ibn Zubair. Tapi kamu ialah Syakhi Ibn Khusir (orang celaka anak orang hancur)
Saied: Ibuku yang memberi namaku dan dia lebih tahu siapa diriku daripada kamu.
Hajjaj: Ibumu celaka sama dengan kamu! (marah)
Saied menjawab, "Kamu juga dilahirkan oleh seorang ibu. Ibumu dan Ibuku sama sahaja."
Hajjaj mulai berang, "Celupar sungguh mulutmu wahai Saeid! Pengawal, sediakan bara api yang menyala-nyala. Kita akan bakar dia..!"
Saied: "Kalau kau boleh sediakan api yang menyala-nyala untuk membakar aku, kau juga belum tentu lepas dari neraka ALLAH."

Hajjaj: Pengawal..! Ambilkan wang emas yang banyak dan berikan kepada dia..!
Pengawal pun longgokkan wang emas yang banyak di hadapan Saied.

Saied: "Andai dengan wang ini kau mampu melepaskan diri dari neraka ALLAH, kau ambillah. Aku tak nak."

Hajjaj bertambah marah dan bengang. Seterusnya, dia mengarahkan pengawal menyuruh seorang perempuan yang cantik menari di hadapan Saied, untuk diberikan kepadanya.Saied menangis.
Hajjaj berasa hairan lalu bertanya, "Kenapa kau menangis?" Saied menjawab, 
"Perempuan ini kau telah salah gunakannya. Dia akan datang mendakwa kamu di akhirat kelak!"

Perempuan itu mendapat hidayah setelah mendengar kata-kata Saied. Dia menangis dan berlari masuk ke dalam bilik, dan menjadi seorang muslimah yang hebat.Melihatkan keadaan itu, Hajjaj sudah tidak boleh menahan amarahnya yang telah memuncak.

Hajjaj mengarahkan pengawal untuk memalingkan wajah Saied supaya menghadapnya. Saied dari mula tidak menghadap Hajjaj. Beliau menghadap qiblat. Lalu dengan kasar sekali pengawal memusingkan muka Saied. Saied membaca,

“Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat, maka ke manapun kamu menghadap di situlah wajah Allah.” (QS. Al-Baqarah: 115)

Hajjaj: "Pengawal, kau pegang tubuh Saied. Kau lambung dia dan biarkan dia jatuh ke bawah!"

Sahabat-sahabat, usia Saied Bin Zubair 72 tahun pada ketika ini. Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya beliau jatuh? Ya..! Badan Saied tercedera dengan teruk! Dalam menahan kesakitan, beliau membaca ayat Al-Quran,

"Dari bumi (tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain."
(Thaha: 55)

Sahabat-sahabat tahu tak bilakah ayat ini dibaca dalam kehidupan kita? Ayat ini dibaca ketika mana kita nak turunkan jenazah dan letakkan ke dalam liang lahad. Ketika kita nak letakkan 3 ketulan tanah; di dapan muka jenazah, di belakang mukanya, dan di tulang sulbi.

Mendengarkan ayat yang di bacakan ini, Hajjaj terus melompat ke atas badan Saied dan mengeluarkan pedangnya yang tajam, lalu menyembelih Saied dari belakang...!

Terpisahla kepala dari badan beliau. Memancut keluar darah-darah dari badannya. Namun beliau masih boleh berkata-kata,

"Hari ini kau telah bunuh aku. Engakau tidak akan dapat membunuh sesiapa lagi selepas aku. Hari ini aku akan pergi bertemu kekasihku.. LA ILAHA ILLA ALLAH.......~~"

Kemudian, kata para ulama', darah dari tubuh Saied bersembur keluar daripada tengkuknya dan jatuh ke atas pasir. Dan darah itu membentuk kalimah,

"لا اله الا الله"

Kata Dr.'Aidh Al-Qarni, Saied berzikir bukan dengan lidah semata-mata, tetapi seluruh tubuh dan hati beliau turut berzikir.

Tak sampai lima belas hari dari kewafatan Saidina Saied, Hajjaj di serang demam panas. Ada yang mengatakan kanser perut. Setiap hari, suhu badannya kian bertambah, penyakitnya kian parah, sekejap sedar dan sekejap pengsan. Sejak membunuh Saied, tidur Hajjaj tidak pernah lena dek kerana terus-terusan diburu wajah Saied. Di akhir kehidupan Hajjaj, dia sering mengigau, 

''Saied bin Zubair, apakah dosaku padamu, mengapa setiap kali aku ingin tidur kamu selalu menarik-narik kakiku?" “Saied bin Zubair hendak menerkamku! Ini Saied bin Zubair berkata: “Mengapa engkau membunuhku?” Dia menangis tersedu-sedu menyesali diri: “Apa yang telah aku buat atas Saied bin Zubair? Kembalikan Saied bin Zubair kepadaku!”

Kondisi itu terus berllarutan sehingga dia meninggal. Setelah kematian Hajjaj, seorang kawannya pernah bermimpi bertemu dengannya. Dalam mimpinya itu dia bertanya kepada Hajjaj: “Apa yang Allah subhanahu wa taala telah lakukan kepadamu setelah membunuh orang-orang itu, wahai Hajjaj?”
Dia menjawab, “Aku disiksa dengan siksaan yang setimpal atas setiap orang tersebut, tapi untuk kematian Saied bin Zubair aku disiksa 70 kali ganda.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan